Bersegera Membayar Hutang.

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera, Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

BERSEGERA MEMBAYAR HUTANG

Dalam suasana kegawatan ekonomi pada masa ini, maka kita hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak dengan budaya berhutang. Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk kepada manusia seperti tekanan emosi, muflis, kehilangan semangat untuk bekerja, kecelaruan fikiran, merompak, melacur, kehidupan keluarga yang tidak bahagia, dan tidak diampuni dosanya oleh Allah s.w.t .

Ini selari dengan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan: Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya.” Agama Islam mengharuskan seseorang itu berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat-sangat memerlukan kewangan untuk meneruskan kehidupan .

Walau bagaimanapun, Islam sangat teliti dalam soal memberi, menerima, dan membayar semula hutang tersebut. Pada dasarnya isu hutang dan pinjam meminjam berkait rapat dengan sikap amanah pemiutang dan penghutang. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang, dan ketinggian iman seseorang antara mereka yang mampu dengan mereka yang berada dalam kesusahan.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 283: Maksudnya: “ Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya. ” Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa setiap yang berhutang wajib melaksanakan amanah dan bersifat jujur membayar hutang mereka setelah berkemampuan.

Bagi sesiapa yang suka melewat-lewatkan atau menangguhkan pembayaran hutang ini, maka maruah mereka menjadi hina, hidup hilang keberkatan dan tidak diredhai oleh Allah s.w.t, amalan kebajikan tertolak, dan tergolong dalam orang yang zalim . Akhir-akhir ini bukan sahaja yang berhutang menjadi korban, bahkan ahli keluarga mereka turut terbabit sama seperti diugut, dipukul, di samun, dan dibunuh.

Apa yang membimbangkan ialah azab Allah s.w.t di hari akhirat kelak. Diantara tanggungjawab menunaikan amanah berhutang agar mendapat keredhaan Allah s.w.t dengan langkah berikut:

Pertama: wajib membayar hutang bagi memelihara hak manusia dan hak Allah s.w.t,

Kedua: bersegera membayar hutang jika sudah berkemampuan,

Ketiga: jangan mudah terpengaruh dengan budaya hidup mewah tetapi tidak mampu membayar;

dan Keempat : Pada prinsipnya mereka yang berhutang kerana memenuhi keperluan asasi keluarga seperti berhutang membeli beras, ikan, membayar bil air, letrik dan sebagainya yang digolongkan sebagai asnaf al-Gharimin yang berhak mendapat bantuan zakat.

Dipetik daripada Khutbah Jumaat oleh JAKIM.
bp: Biro Agama & Kerohanian 11 Jamadilakhir 1430H.

Comments

Anonymous said…
50 lg mana?

Popular posts from this blog

Top up Maxis/Hotlink tak masuk selepas tolak dari Maybank..

Buku Ustazah Asma Harun

PENGALAMAN TERINDAH TERBAIK...